Khamis, 18 Jun 2009

Indahnya cinta

CINTA
Cinta terhadap tujuan hidup anda tidak ada bezanya dari cinta romantik. Bila masa berlalu kesungguhan akan pudar dan jika kita tidak mengambil langkah untuk menyegarkannya semula, maka cinta itu akan padam. Terdapat cara-cara untuk mengekalkan motivasi dan cinta untuk jangkamasa panjang :

1. Gunakan Penerapan Positif
Cara yang telah terbukti bagi mengekalkan motivasi ialah untuk sentiasa mendedahkan diri anda kepada cerita-cerita yang positif. Bila orang lain berkata sesuatu yang boleh melemahkan semangat anda, maka lebih baik anda mendengar kaset atau menonton video yang dapat membangkitkan semula semangat anda. Anda juga perlulah sentiasa melihat, mendengar, memikir, menghidu, merasa dan melakukan perkara-perkara yang berkaitan dengan kejayaan.

2. Sentiasa Belajar Dan Majukan Diri
Sentiasalah anda bekerja untuk jadi lebih maju dan cekap. Ini akan mengekalkan motivasi diri. Ia bererti anda sentiasa mempunyai sesuatu yang hendak dituju dan untuk maju.Pelajaran juga akan mengekalkan semangat anda. Lebih banyak anda mengambil tahu perkara yang anda tidak tahu, lebih nikmat lagi pelajaran itu. Tambahan lagi pada masa sekarang ini teknologi maklumat berkembang dengan amat pesat, banyak perkara yang patut anda ketahui.

3. Luangkan masa Untuk Berehat
Jika anda asyik bekerja dan tidak ada masa untuk bermain, hidup anda tidak akan menyeronokkan. Kita perlukan masa untuk bersendiri, dan beristirehat serta bermain. Ia penting untuk mengekalkan motivasi kerana ia akan mendekatkan anda dengan tujuan anda. Lagipun, inilah antara perkara yang anda inginkan dalam hidup.

4. Buat Saja
Ada pendapat menyatakan anda perlu buat apa yang anda suka, dengan cara ini anda akan terus bersemangat mencapai matlamat anda. Tapi bagi Fripp, seorang penulis mengenai motivasi, jangan Tanya sama ada anda suka atau tidak, lakukan saja apa yang patut anda lakukan itu.Kita semua pernah menghadapi komitmen yang mana kita sendiri tidak mahu penuhi. Atau kita perlu membuat panggilan telefon kepada seseorang yang mana kita sendiri tidak suka memanggil, atau surat yang terpaksa ditulis. Jadi jangan Tanya sama ada anda suka atau tidak. Buat saja apa yang patut anda lakukan untuk sampai ke mana yang anda ingin sampai.Anda boleh mempunyai perniagaan yang lebih besar,jadi lebih kaya, buat apa yang anda suka dalamhidup, ianya terpulang kepada anda. Tidak adasiapa yang akan lakukannya untuk anda- andaboleh dan terpaksa lakukannya sendiri.- Fripp

5. Doa dan Tawakkal
Apabila anda melakukan kerja bagi mencapai matlamat anda, niatkan bahawa anda melakukannya kerana Allah dan anda ingin mendapat keredhaanNya. Sentiasalah berdoa dan mintalah kepadaNya agar anda berjaya dalam apa saja yang anda lakukan. Mintalah kepadaNya kerana Dia Maha Berkuasa dan Maha Pemurah. Apabila anda selesai melakukan sesuatu kerja itu, bertawakallah kepadaNya dan sentiasalah mengharapkan natijah yang baik. Sekiranya anda gagal dalam sesuatau perkara, fikirkanlah mengenai hikmah disebalik kegagalan itu dan apakah faedah-faedah yang anda dapati dari pengalaman itu. Dengan cara ini, diri anda akan sentiasa bersemangat dan ingin terus maju. Cintanya kita terhadap kejayaan bertitik tolak dari kemampuan kita untuk mrnilai berapa tinggikah harga kejayaan itu kepada diri, agama, bangsa dan negara.
Sebenarnya rasa cinta terhadap kejayaan bertitik tolak dari kemampuan kita untuk menilai berapa tinggikah harga kejayaan itu adalah satu perasaan yang amat murni. Ini adalah kerana kejayaan itu, jika dapat dihayati hikmahnya, ia bukan saja bererti kejayaan untuk diri, malah untuk orang lain yang kita kasihi dan sayangi. Kejayaan diri kita dengan jalan yang diredhai itu juga bermakna kejayaan bangsa dan kebangga agama kita.
Allahua'lam
Wassalam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan