Sabtu, 27 Jun 2009

Pendapat mengenai Bulan Rejab


Pendapat mengenai amalan solat sunat puasa, umrah bersandar kepada hadis lemah

REJAB bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa juga bentuk peperangan.

Kalendar Islam yang mempunyai 12 bulan ada empat bulan dimuliakan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.

Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang bertakwa." - (Surah at-Taubah, ayat 36)Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran "maka janganlah kamu menganiaya diri kamu" dalam ayat itu bermaksud jangan seseorang menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman Allah hanya menunjukkan ada empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi SAW memperincikan nama bulan itu: "Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan.

Empat di antaranya ialah bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)Rejab termasuk dalam bulan dimuliakan Allah.

Lantaran itu tersebar dalam masyarakat kita amalan memiliki fadilat yang besar dikhaskan sempena Rejab ini. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil sah menunjukkan amal ibadah tertentu bersempena Rejab.Hal ini diperakui tokoh ulama hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis sahih mengenai keutamaan Rejab (melainkan ia termasuk bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada Rejab yang dapat dijadikan pegangan.

Adalah masyhur di kalangan masyarakat disunatkan untuk berpuasa pada hari pertama Rejab, Khamis minggu pertama Rejab, 15 Rejab dan 27 Rejab sempena Israk Mikraj.Selain daripada itu, ada juga yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Imam Ibnul Qayyim berkata: "Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan itu secara terus menerus seperti dilakukan sebahagian orang dan Baginda sama sekali tidak berpuasa pada Rejab dan Baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada Rejab seperti diriwayatkan Ibnu Majah."Walaupun begitu jika seseorang itu berpuasa pada Rejab tanpa niat mengagungkan bulan berkenaan tetapi berpuasa bertepatan dengan hari disunatkan berpuasa seperti Isnin dan Khamis atau puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) pada Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan syarak.

Ada juga pandangan bahawa pada Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu, menurut 'Aisyah, Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada Rejab.Daripada Mujahid dia berkata: "Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid, ternyata 'Abdullah bin 'Umar sedang duduk di samping bilik Saidatina 'Aisyah. Kemudian dia berkata kepadanya: Berapa kali Rasulullah SAW melakukan umrah? Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali Rasulullah SAW melakukan umrah. Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali, salah satunya pada Rejab. Lalu kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya. Dia (Mujahid) berkata: Kami mendengar dia (iaitu 'Aisyah) sedang bersiwak. Kemudian Urwah bertanya kepada 'Aisyah: Wahai ibu orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu 'Abdurrahman? 'Aisyah berkata: Apa yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi SAW pernah mengerjakan umrah pada Rejab. Beliau berkata: Semoga Allah merahmati Abu 'Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu Umrah pun melainkan dia (yakni 'Aisyah) ikut bersama Baginda dan Baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada Rejab." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)Tarikh 27 Rejab dikaitkan dengan Israk dan Mikraj dan pelbagai program diatur bagi mengingati peristiwa bersejarah itu.

Ia adalah usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam supaya mengambil pengajaran daripadanya.Namun, wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai tarikh berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj seperti dijelaskan Ibu Hajar al-'Asqalani: Ulama berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum Baginda SAW dilantik menjadi nabi. Pendapat ini ganjil kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulama berpendapat selepas Baginda SAW menjadi nabi.Selanjutnya dalam kitab itu Ibnu Hajar menyebutkan pendapat ulama seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini.Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie menegaskan: "Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada Rejab. Dalam hal ini, menurut ulama hadis ialah satu pembohongan.

Ibn Rajab al-Hanbali pula berkata: "Diriwayatkan bahawa pada Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW lahir pada awal malam Rejab, diangkat menjadi Nabi pada 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih."Kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat mengenai tarikh peristiwa Israk dan Mikraj supaya peristiwa itu diketahui secara jelas dan pada masa sama, tiada ibadat khusus atau sambutan tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa bersempena tarikh berkenaan.

Ada golongan yang lebih ekstrim beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Jika ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti bila sebenarnya ia berlaku seperti amalan sunnah lain iaitu puasa 'Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharam dan beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan.

Ia memperlihatkan tidak ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Jika memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama melaksanakannya adalah Rasulullah SAW serta sahabat.Tiada amalan khusus untuk Rejab yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang dijumpai dalam hadis sahih. Jika ada pendapat yang meriwayatkan mengenai amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab, ia bersandar kepada hadis lemah.Banyak lagi amalan sunat yang umum belum kita amalkan boleh dipraktikkan pada Rejab sebagai persediaan menanti kedatangan Ramadan dengan membanyakkan solat malam, puasa sunat Isnin dan Khamis serta tadarus al-Quran.

Wassalam

Jumaat, 26 Jun 2009

Kisah duka Rasulullah S.A.W

Assalamualaikum........

**Bulan Rejab Banyak Cerita Duka Rasullullah SAW.

REJAB yang kita lalui kini, turut mencatat sejarah duka bagi Nabi Muhammad SAW. Apabila meneliti catatan sejarah, didapati bahawa pada Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Baginda, Nabi Muhammad benar-benar berada di puncak kesedihan.

Baginda menghadapi dua musibah berturut-turut iaitu kehilangan dua insan yang sangat berjasa dan dikasihi yang pergi buat selama-lamanya menghadap Ilahi.Peristiwa itu adalah kewafatan Siti Khadijah, isterinya. Tidak lama kemudian menyusul pula bapa saudaranya, Abu Talib.Tahun itu adalah tahun duka cita bagi Rasulullah.

Baginda bukan sekadar kehilangan seorang isteri yang menumpahkan taat setia, kasih sayang dan ketabahan luar biasa, malah Siti Khadijah menjadi sumber inspirasi dalam perjuangan Baginda.Sebagai insan berharta, Siti Khadijah menyumbangkan sebahagian harta miliknya dengan penuh ikhlas dan rela, demi kepentingan dan kemajuan dakwah Rasulullah dalam usaha menegakkan risalah Islamiah.

Sokongan Siti Khadijah juga menyebabkan beban berat yang dipikul Nabi Muhammad berasa lebih ringan. Ia turut mengubat kedukaan Baginda hingga Rasulullah mendapat kekuatan dan semangat untuk mengembangkan Islam.

Siti Khadijah banyak berkorban dan memberi sokongan, baik dengan harta mahupun jiwa raganya dalam usaha pengembangan agama Islam.Demikian juga halnya dengan kewafatan Abu Talib, bapa saudaranya yang bermati-matian membela dan melindunginya daripada ancaman orang kafir Quraisy.Lantaran Abu Talib tergolong dalam orang yang disegani di kalangan bangsa Arab, menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Nabi secara terang-terangan.

Setelah Abu Talib dan Siti Khadijah wafat, mereka tidak lagi segan-segan mengganggu, mengejek serta mengancam Rasulullah.Selepas Nabi Muhammad berasa ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin sempit dan keselamatan umat Islam tidak lagi begitu terjamin, Rasulullah memutuskan untuk pergi ke Taif.

Rasulullah berharap penduduk Taif akan menerima seruan Baginda, sekali gus membantu perjuangannya. Bagaimanapun, di luar dugaan, penduduk Taif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada Nabi, malah Baginda menerima pelbagai cacian, penghinaan dan penganiayaan.

Rasulullah kembali ke Makkah dengan perasaan hampa. Betapa beratnya penderitaan yang diterima oleh Baginda ketika itu.Dalam keadaan seperti itu, untuk menghibur dan meningkatkan iman Rasulullah, maka Allah memerintahkan kepada Jibril agar Rasulullah melalui peristiwa Israk Mikraj.

Peristiwa yang menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad.Israk Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian.

Wassalam


Khamis, 18 Jun 2009

Indahnya cinta

CINTA
Cinta terhadap tujuan hidup anda tidak ada bezanya dari cinta romantik. Bila masa berlalu kesungguhan akan pudar dan jika kita tidak mengambil langkah untuk menyegarkannya semula, maka cinta itu akan padam. Terdapat cara-cara untuk mengekalkan motivasi dan cinta untuk jangkamasa panjang :

1. Gunakan Penerapan Positif
Cara yang telah terbukti bagi mengekalkan motivasi ialah untuk sentiasa mendedahkan diri anda kepada cerita-cerita yang positif. Bila orang lain berkata sesuatu yang boleh melemahkan semangat anda, maka lebih baik anda mendengar kaset atau menonton video yang dapat membangkitkan semula semangat anda. Anda juga perlulah sentiasa melihat, mendengar, memikir, menghidu, merasa dan melakukan perkara-perkara yang berkaitan dengan kejayaan.

2. Sentiasa Belajar Dan Majukan Diri
Sentiasalah anda bekerja untuk jadi lebih maju dan cekap. Ini akan mengekalkan motivasi diri. Ia bererti anda sentiasa mempunyai sesuatu yang hendak dituju dan untuk maju.Pelajaran juga akan mengekalkan semangat anda. Lebih banyak anda mengambil tahu perkara yang anda tidak tahu, lebih nikmat lagi pelajaran itu. Tambahan lagi pada masa sekarang ini teknologi maklumat berkembang dengan amat pesat, banyak perkara yang patut anda ketahui.

3. Luangkan masa Untuk Berehat
Jika anda asyik bekerja dan tidak ada masa untuk bermain, hidup anda tidak akan menyeronokkan. Kita perlukan masa untuk bersendiri, dan beristirehat serta bermain. Ia penting untuk mengekalkan motivasi kerana ia akan mendekatkan anda dengan tujuan anda. Lagipun, inilah antara perkara yang anda inginkan dalam hidup.

4. Buat Saja
Ada pendapat menyatakan anda perlu buat apa yang anda suka, dengan cara ini anda akan terus bersemangat mencapai matlamat anda. Tapi bagi Fripp, seorang penulis mengenai motivasi, jangan Tanya sama ada anda suka atau tidak, lakukan saja apa yang patut anda lakukan itu.Kita semua pernah menghadapi komitmen yang mana kita sendiri tidak mahu penuhi. Atau kita perlu membuat panggilan telefon kepada seseorang yang mana kita sendiri tidak suka memanggil, atau surat yang terpaksa ditulis. Jadi jangan Tanya sama ada anda suka atau tidak. Buat saja apa yang patut anda lakukan untuk sampai ke mana yang anda ingin sampai.Anda boleh mempunyai perniagaan yang lebih besar,jadi lebih kaya, buat apa yang anda suka dalamhidup, ianya terpulang kepada anda. Tidak adasiapa yang akan lakukannya untuk anda- andaboleh dan terpaksa lakukannya sendiri.- Fripp

5. Doa dan Tawakkal
Apabila anda melakukan kerja bagi mencapai matlamat anda, niatkan bahawa anda melakukannya kerana Allah dan anda ingin mendapat keredhaanNya. Sentiasalah berdoa dan mintalah kepadaNya agar anda berjaya dalam apa saja yang anda lakukan. Mintalah kepadaNya kerana Dia Maha Berkuasa dan Maha Pemurah. Apabila anda selesai melakukan sesuatu kerja itu, bertawakallah kepadaNya dan sentiasalah mengharapkan natijah yang baik. Sekiranya anda gagal dalam sesuatau perkara, fikirkanlah mengenai hikmah disebalik kegagalan itu dan apakah faedah-faedah yang anda dapati dari pengalaman itu. Dengan cara ini, diri anda akan sentiasa bersemangat dan ingin terus maju. Cintanya kita terhadap kejayaan bertitik tolak dari kemampuan kita untuk mrnilai berapa tinggikah harga kejayaan itu kepada diri, agama, bangsa dan negara.
Sebenarnya rasa cinta terhadap kejayaan bertitik tolak dari kemampuan kita untuk menilai berapa tinggikah harga kejayaan itu adalah satu perasaan yang amat murni. Ini adalah kerana kejayaan itu, jika dapat dihayati hikmahnya, ia bukan saja bererti kejayaan untuk diri, malah untuk orang lain yang kita kasihi dan sayangi. Kejayaan diri kita dengan jalan yang diredhai itu juga bermakna kejayaan bangsa dan kebangga agama kita.
Allahua'lam
Wassalam...

Tempat yang abadi


**Terbuka hijab sebelum meninggal
NABI S.A.W bersabda: "Sesungguhnya apabila seseorang kamu mati, didedahkan kepadanya - pagi dan petang - tempat tinggalnya kelak; sekiranya si mati itu dari ahli Syurga maka Syurgalah yang didedahkan kepadanya untuk ia merasai nikmatnya.
Dan jika ia dari ahli Neraka maka Nerakalah yang didedahkan kepadanya untuk ia merasai azab sengsaranya." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kemudian dikatakan kepada masing-masing: "Inilah tempat tinggalmu yang engkau akan dibawa kepadanya pada hari kiamat." (Ibn Umar r.a)
Huraian:Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya apabila seseorang kamu mati, didedahkan kepadanya - pagi dan petang - tempat tinggalnya kelak; sekiranya si mati itu dari ahli Syurga maka Syurgalah yang didedahkan kepadanya untuk ia merasai nikmatnya, dan jika ia dari ahli Neraka maka Nerakalah yang didedahkan kepadanya untuk ia merasai azab sengsaranya." Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kemudian dikatakan kepada masing-masing: "Inilah tempat tinggalmu yang engkau akan dibawa kepadanya pada hari kiamat.

Wassalam...